“Ish, dah lama aku rendam pun masih tak tanggal lagi kesannya. Takkanlah nak tunggu semalaman. Macam mana cara menghilangkan kotoran pada baju ni dengan cepat dan berkesan?”

Pelbagai kotoran boleh melekat pada pakaian kita sehari-hari. Kalau lambat dicuci, memang sukar ditanggalkan dan menjadi  KOTORAN DEGIL.

Sebenarnya, setiap jenis kotoran mempunyai cara tersendiri yang boleh memudahkan proses menanggalkannya.


6 CARA MENGHILANGKAN KOTORAN DEGIL PADA PAKAIAN ANDA

Ini cara menghilangkan kotoran pada baju dan pakaian yang amat praktikal untuk korang cuba.

1. DAKI di Kolar baju










Tak kisahlah sama ada baju sekolah, baju kerja, atau baju suami. Kesan daki yang melekat pada kolar sememangnya menggelikan. Namun, ada rahsia yang sangat mudah untuk korang membersihkannya!
 
Caranya adalah dengan menggunakan syampu. Yes syampu gaiss! Cuma tuangkan sedikit syampu (tak kisahlah jenama apa pun) dan gosokkan bahagian kolar baju korang dengan berhati-hati. Kemudian, bilas dan cuci baju seperti biasa. Kalau nak jimat, ambillah syampu-syampu percuma yang diberikan semasa korang bercuti di hotel. Walaupun kurang sesuai untuk rambut, tapi ia amat bagus untuk cucian!


2. TOMPOKAN DARAH


Seterusnya, wanita mungkin lebih cenderung dengan masalah ini terutamanya apabila sedang menghadapi tempoh haid. Sekiranya ada kesan yang melekat pada seluar, lakukan langkah ini.
 
Basahkan bahagian yang terkena darah dan taburkan dengan sedikit garam. Kemudian, gosokkan bahagian tersebut dan korang akan mendapati kesan darah akan mula tertanggal. Ulangi langkah ini beberapa kali dan seterusnya cuci baju korang seperti biasa menggunakan sabun pencuci.


3. TUMPAHAN DAKWAT

 
Jika ada kesan dakwat, korang boleh menggunakan beberapa cara untuk menanggalkannya.

Pertama, ambil sedikit susu dan tuangkan ke atas kesan dakwat. Biarkan ia terendam seketika dan gunakan span untuk menggosoknya perlahan-lahan.
Cara kedua, korang boleh menggunakan ‘hairspray’ dengan menyemburkannya pada kesan tersebut. Biarkan beberapa ketika dan gosokkan dengan kain / tisu bersih. Ulangi proses ini hingga ia tertanggal sepenuh.


4. KESAN DEODORANT

Cuka akan membantu melembutkan pakaian sekaligus bertindak sebagai agen penghilang kesan deodoran yang kekuningan dan sedikit keras. Celupkan berus gigi terpakai dalam larutan cuka putih dan gosokkan kesan deodoran pada bawah lengan pakaian.

Kalau baju korang berwarna gelap, taburkan ‘baking soda’ pada kesan deodoran.

Kemudian, bilas pakaian dalam air hangat atau panas, sesuai dengan suhu tertinggi yang masih sesuai untuk jenis fabrik pakaian anda.


5. TANAH / LUMPUR


Kalau korang menggosok lumpur semasa basah, ia mungkin akan menyebabkan kotoran semakin merebak. Maka, kesan tanah atau lumpur lebih mudah dibersihkan apabila ianya dibiarkan kering.

Kemudian, tanggalkan sebanyak mana yang korang boleh ketika lumpur ini kering.

Cuci kesan selebihnya menggunakan sabun pencuci biasa dan bilas. Jika masih ada kesan kotoran, anda boleh cuba menggunakan sedikit cuka dalam cucian. Jika terdapat kesan rumput, korang boleh membersihkannya menggunakan pes ubat gigi (bukan jenis gel) dan menggosoknya. Kemudian, bilas seperti biasa.


6. MINYAK HITAM / GRIS


Untuk menanggalkan kesan minyak hitam yang terlekat pada pakaian, mula-mula gunakan tisu untuk menyerap seberapa banyak kesan yang boleh.

Kemudian, taburkan sedikit tepung jagung atau bedak bayi di atas kesan tersebut. Biarkan seketika dan tanggalkannya semula (secara kering). Kemudian, titiskan beberapa titik sabun pencuci pinggan mangkuk ke atasnya dan beruskan hingga kesan minyak tanggal sepenuhnya.


Mudah bukan cara menghilangkan kotoran pada baju kesayangan korang? Semuanya hanya menggunakan bahan yang ada di rumah. Jadi, tak perlu risau lagi walaupun mengenakan baju putih sebab korang dah tahu rahsianya.